Thursday 14 June 2012

Parti Politik Sekadar Parti Politik

Sistem demokrasi moden adalah satu sistem yang mempamerkan perlawanan antara parti-parti politik dalam memenangi pilihanraya. Sistem yang memberi mandat sepenuhnya kepada rakyat dalam menjadi hakim kepada parti-parti politik ini telah lama bertapak di negara-negara Islam tidak terkecuali Malaysia. Kejatuhan Khilafah Islamiyah di Turki pada tahun 1924 telah mencetuskan satu perubahan besar dalam menentukan penguasa atau pemerintah sesebuah negara terutamanya negara Islam. Ringkasnya, sistem demokrasi melalui pilihanraya ini menjadi sistem utama bagi hampir seluruh negara di dunia sejak daripada itu.

Justeru, parti-parti politik yang bertanding terus bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Maka wujudlah golongan-golongan yang melancarkan pelbagai usaha yang jauh menyimpang dari kebenaran demi mencapai kemenangan dalam pilihanraya atau kata mudahnya ialah 'main kotor'. Lumrah ini sudah pasti akan terus berlaku tanpa noktah kerana prinsip "parti politik sekadar parti politik" merupakan pegangan teguh para aktor politik di pentas pilihanraya kerana sememangnya itulah sifat atau peranan parti politik, semata-mata memenangi pilihanraya.

Saya kira "parti politik sekadar parti politik" sudah tentu tidak wujud di dalamnya agenda DAKWAH atau menyampaikan Islam kepada masyarakat dan juga agenda MENDIDIK pendukung-pendukungnya ke arah kebaikan apatah lagi mendidik mereka menjadi hamba Allah yang baik. Sebaik-baik "parti politik sekadar parti politik" adalah yang terdapat di dalamnya agenda KEADILAN dan KETELUSAN.

Lantas, gerakan-gerakan Islam mutakhir ini yang berakar umbikan pengaruh para tokoh pemikir Islam sebaik sahaja kejatuhan Khilafah Islamiyah yang lalu telah membawa satu fenomena baru dalam sistem demokrasi di setiap negara yang mengamalkannya. Prinsip "parti politik sekadar parti politik" telah menerima satu kunjungan baru apabila elemen TARBIYAH dan DAKWAH turut sama menjadi fokus dalam memenuhi agenda sesebuah parti politik Islam. Ringkasnya dari sudut istilah Islam, parti politik tersebut sekadar memenuhi agenda siasah semata-mata iaitu mementingkan keadilan dan ketelusan kepada rakyat. Elemen tarbiyah yang dimaksudkan adalah wujudnya satu sistem dalam sebuah parti politik bagi membentuk para pendukung atau ahlinya menjadi insan yang bukan sahaja profesional malah beragama. Lebih lagi terpandu pula sistem tersebut apabila para ulamak menjadi pimpinan atau majlis tertinggi parti tersebut. Elemen dakwah pula adalah misi menyampaikan Islam kepada masyarakat. Maka, wujudlah penerapan rasa tanggungjawab bagi setiap ahlinya untuk menyebarkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat dengan pelbagai wasilah dan medium yang bersesuaian seperti program dan ceramah.

Lalu, bagaimana pula kriteria-kriteria yang perlu ada bagi "parti politik sekadar parti politik" yang mengasingkan sistem mendidik dan tuntutan dakwah Islamiyah ini dari agenda parti mereka dalam berperanan menjadi parti politik yang baik? Dan sudah tentunya parti tersebut tidak meletakkan agama sebagai teras atau dasarnya. Saya berpandangan bahawa sebuah parti politik yang baik adalah parti yang meletakkan keadilan yang jitu buat rakyat dan telus dalam menyampaikan maklumat kepada mereka. Namun, timbul persoalan bahawa bagaimana boleh terhasilnya sebuah parti politik yang baik tanpa pemimpin dan pendukungnya yang baik? Dan bagaimana pula mampu sebuah parti politik yang tidak berteraskan agama mampu terus konsisten menjadi parti yang baik? Teman-teman mampu memikirkannya.




2 comments:

  1. tahniah fahmi dah ada blok sendiri,,, laam tak jumpa anta,,,,

    ReplyDelete