Saturday 14 December 2013

Membesar Usia Tetapi Tidak Membesar Minda

Meninjau fb anak-anak muda lingkungan 15-25 tahun, masih ramai yang berpakaian menjolok mata dan tenggelam dengan dunia cintanya.

"sye syG sanGat2 kat diyew, naPe la diye wat camtu kt Sye.."
"Hai, Sye masih singLe, spew2 MaSih singLe jom Chat.."
"Penatnye... sehari Kuar ngAn BF ariNi.."

Satu perkara yang cukup dibimbangi ialah masa depan negara. Anak-anak muda yang membesar usianya tetapi tidak membesar mindanya. Perkara ini menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

Antaranya,

1. Perlu menjadikan pendidikan agama sebagai tunjang asas di semua peringkat pengajian, serta menyediakan peruntukan kewangan untuk pengajian tinggi agama sebagaimana bidang Kedoktoran dan lain-lain.

2. Rancangan-rancangan yang ingin disiarkan di media utama (TV) perlu ditapis: Kurangkan siaran hiburan dan lakonan-lakonan yang tidak berfaedah dan perbanyakkan siaran mendidik jiwa serta lakonan-lakonan yang membentuk karakter anak muda.

3. Pantauan serius ibubapa terhadap pergaulan anak-anaknya.

Oleh: Ustaz Kailani Zahari

Mengenang Allahyarham Sir Halim

Terkenang Allahyarham Sir Halim yang kini telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang beriman. Antara yang masih jelas di ingatan saya ialah soalan Allahyarham kepada saya:

"Fahmi, kalau tiba-tiba Allah ta'ala tarik nikmat MELIHAT kamu, kamu rasa kamu mampu tak nak jalani kehidupan seperti biasa setelah sekian lama merasai nikmat MELIHAT?

Anak Muda Saling Melengkapi

Anak muda yang kaki kuliah, teruskan berdiskusi. Yang boleh demo, teruskan bersolidariti. Yang kuat ibadat, teruskan bermunajat. Yang pandai menghibur, gunakan hiburan untuk pemerkasaan masyarakat.

Sebab kita tak mampu buat semua, jadi kita perlukan semua untuk bergerak.

Oleh: Mat Luthfi

Meninggalkan Maksiat VS Melakukan Ketaatan

Meninggalkan maksiat itu lebih sukar dari melakukan ketaatan. Teruskan melaksanakan ketaatan walaupun masih gagal meninggalkan maksiat.

Mencari Mutiara Islam Di Akhir Zaman

Mencari pemuda-pemudi yang cintakan Islam dalam zaman fitnah ini ibarat mencari mutiara indah di dasar laut yang dalam lagi gelap gelita. Jangan terlampau berkira dan cerewet memilih mutiara.

Berjuang dan Berdakwah Kerana Ramai

Jika kita berjuang dan berdakwah kerana ramai, kita akan berhenti apabila berseorangan atau sedikit. Tapi jika kita berjuang dan berdakwah kerana Allah, sedikit dan berseorangan bukan alasan untuk tidak berbuat apa-apa dalam memartabatkan Islam.

Seloroh Tandas dan Syurga

Nak masuk TANDAS; tempat buang kekotoran pun kena bayar,
inikan pula SYURGA; tempat yang abadi bagi mereka yang diredhai Allah,
sudah tentu sangat MAHAL dan perlukan MUJAHADAH. 

Menjauh Menyebabkan Semakin Jauh

Jangan menjauhi kawan-kawan yang soleh sekalipun kita telah terjebak atau tersungkur kepada perkara-perkara yang dimurkai Allah. Kalau kita menjauh, kita akan terus jauh dan jauh dari jalan soleh.

Soleh dan Facebook

Saya pernah terjumpa seorang sahabat yang tak serius update status dan share bahan-bahan bermanfaat di Facebook. Tetapi, realitinya dia seorang yang sangat komited dengan ibadah, majlis ilmu, isu semasa dan sebagainya. Sebenarnya, dia hanya tidak menggunakan Facebook sebagai ALAT untuk beberapa kebaikan. Sedangkan, realitinya dia seorang Muslim yang soleh dan tawazun.

Hati-hati menilai orang melalui Facebook.

Menterjemah Keperibadian Solehah

SOLEHAH itu perlu diterjemahkan juga dengan tanggungjawab-tanggungjawab lazim sebagai anak perempuan; beli sayur, kemas rumah, lipat kain dan lain-lain lagi. Bukan sekadar bersungguh dengan usrah, qiamullail, baca Al-Quran dan sebagainya. Sedangkan perkara-perkara ibadah khusus itu sepatutnya mengukuhkan diri agar dapat SEIMBANG dalam setiap tanggungjawab yang digalas. Begitu juga dengan perihal si SOLEH. Muhasabah bersama.

Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

"Aku yang DULU bukanlah yang SEKARANG..."

Kalau rindu dengan KESOLEHAN yang dulu, kita tak dapat kembali lagi ke masa itu untuk memperolehinya. Kalau menyesal pula dengan KEMAKSIATAN yang dulu, kita juga tak dapat kembali lagi ke saat itu untuk menghindarinya. Kita adalah kita yang SEKARANG. Sentiasa berpeluang untuk memilih jalan ke SYURGA atau NERAKA.

Bicara Hati Mengungkap Sayang

Kalaulah HATI ini boleh berbicara, ingin sahaja ku lafaz SAYANG pada semua yang pernah ku kenali.

Tapi apakan daya, mulut ini, tangan ini, kaki ini, dan tubuh ini kadangkala tak pandai menghargai dan selalu menyakiti.

Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang bersilaturrahim dengan diri ini, yang ''pernah'' bersilaturrahim dengan diri ini dan yang mengenali diri ini.

Ukuran Kejayaan

"Pencapaian akademik tu bukanlah penentu berjayanya seseorang atau tak. Kita ada ramai manusia-manusia pandai keluar daripada top universiti dalam dunia ni tapi end up being someone yang manipulatif, menindas dan tak pernah pun kisah pasal orang lain. Saya rasa kejayaan sepatutnya diukur dengan sejauh mana seseorang itu mampu menyumbang kembali kepada masyarakat."

Oleh: Mat Luthfi - Video Soalan Ramalan Pasca SPM

Sindrom Puak Hawa

Hawa..
Perlu ke kita berpuak-puak?

Tudung labuh dengan geng tudung labuh
Niqabis dengan geng niqabis

Habis yg tudung pendek, free hair
Siapa yang nak kawan mereka?
Siapa yg nak bimbing mereka?

Jadi, jomlah kita berkawan dengan semua orang
Kalau kita berpuak-puak sampai bila Islam nak bersatu?
Sebab yang free hair tudung pendek tu pun saudara kita juga
Jangan kita lupa OK 

Oleh: Nadzirah Ruqyah

Eksklusifkan Islam

Apabila eksklusifkan Islam itu hanya kepada kelompok geng kopiah dan tudung labuh sahaja, jadilah Islam itu "UNTUK KITE-KITE AJE".

Cerita Pasal Orang

Saya amat bimbang berkawan dengan orang yg suka mencerita hal-hal org lain pada saya. Semua cerita orang berada dalam kocek dia, seolah-olah dia tiada kelemahan diri langsung.

Saya banyak kali terfikir, adakah dia akan bercerita tentang saya pula pada kawan-kawan yang lain apabila saya tiada bersamanya.
Orangg seperti ini memang tidak boleh dijadikan sahabat. 

Masa baik bolehlah dia menyimpan rahsia kita, tetapi ditakdirkan ada perselisihan nanti, semua cerita dihebahkan.

Rakan seperti ini hanya sesuai untuk taraf kawan "hai,hai..bye,bye."

Tak boleh dijadikan sahabat.

Oleh: Dr. Zubaidi Hj Ahmad

Antara Merendah Diri dan Yakin Diri

“Merendah diri tu jangan sampai buka aib sendiri. Yakin diri tu pulak jangan sampai mengagungkan kelebihan diri.”

Budak Jahat Sayang Mak Ayah

Dulu-dulu masa di bangku sekolah, satu budaya remaja seusia yang masih kekal di ingatan saya adalah budaya mengejek nama mak bapak. Masih ada lagi ke budaya ni ye?

Masa tu, satu situasi pelik yang saya lihat, sejahat-jahat (sebenarnya nakal je) pelajar sekolah, masih SANGAT SAYANG akan ibu bapa diorang. Pantang kena ejek nama mak bapak diorang, mesti bengang giler dan balas balik.

Dakwah, Jatuh Cinta dan Ditipu Syaitan

Kawan aku pernah cerita:

"Aku ada sorang kawan rajin berdakwah dan buat kerja Islam. Tiba-tiba, Allah nak uji dia, dia jatuh cinta dengan sorang awek. Percintaan dia dengan awek ni telah menyebabkan abes kehidupan dia sebagai seorang pendakwah terjejas. Dia dah mula tak amal cara hidup Islam sedikit demi sedikit. Solat berjemaah kat masjid pun dah tak pergi bahkan dah mula solat hujung-hujung waktu, ikhtilat dah tak jaga dan macam-macam lagi.

Akibatnya, dia tak mahu lagi berdakwah dan buat kerja Islam dek kerana merasa tidak layak dan cakap tak serupa bikin. Yela, berdakwah sana sini, buat kerja Islam hebat-hebat, tapi diri sendiri tak amal cara hidup Islam. Bagi dia, dia lebih selesa untuk teruskan kehidupan sebegitu daripada bertaubat, membaiki diri semula dan kembali berdakwah dan buat kerja Islam."

Kawan aku menutup cerita dia dengan satu ungkapan:

"Sebenarnya dia sedang ditipu syaitan."

Model Cinta dan Masa Muda

Anak muda tercari-cari model CINTA di sana sini. Akhirnya, mereka temuinya di NOVEL, LAGU, DRAMA, dan MOVIE yang tiada syariat padanya.

Masa muda untuk mendarah dagingkan ILMU dan AMAL kebaikan.
Kelak tua sudah biasa dengannya.

Syeikh Kau, Syeikh Aku


Syeikh kau, syeikh aku
kita lihat siapa lebih tahu
walau kita berdua tak berapa tahu
tapi kita ada syeikh yang mesti tahu
kau dengan syeikh kau, aku dengan syeikh aku
sampai ke sudah minda kita tak bertemu.

Sunday 19 May 2013

Misi Bernikah Seorang Muslim Sejati

Pernikahan antara perkara yang besar dalam agama. Jadi, perlu keseriusan untuk menjadikan agama sebagai rujukan utama bagi melaksanakannya. Bukan sekadar menjayakan kisah "Raja Sehari" dan perjalanan "Novel Cinta" bahkan sebenarnya perlu menjayakan misi seorang "Muslim Sejati".

Bernikah kerana Allah dan agamaNya...


Saturday 11 May 2013

Bernatijahkan Pahala dan Dosa

Sikap meremehkan permasalahan PAHALA & DOSA dalam segala perkara dalam hidup kita bermula apabila kita meremehkan perihal PAHALA & DOSA terhadap SEKECIL-KECIL perkara dalam hidup.

Wednesday 1 May 2013

Lagu "Aku Bersujud - Fahmi Dusuki"





AKU BERSUJUD

Ku akui diriku
Dipenuhi dosa-dosa kepadaMu
Ku terasa jauh
Saat diri ini terlupa padaMu…

Ku tak tau harus bagaimana
Ku merasa tak pantas di syurgaMu
Adakah ampunanMu untukku…

c/o
Aku bersujud kepadaMu
Mengenang dosa-dosa yang telah ku lakukan…
Dan ku meminta ampunan dariMu
Tuhan,  ampuni segala dosaku
(Tuhan, bukakan  pintu taubatMu)

Ku sedari diriku
Dibelenggu kesilapan  masa lalu
Ku merasa tak berdaya
Tanpa kasih dan sayangMu, oh  Tuhanku….
(Ulang c/o)

Ku sedari diriku sungguh ingin kembali padaMu...

Lagu: Rendana
Lirik: Rendana

Tuesday 26 March 2013

Kerangka Kehidupan



Apabila kita melihat kerangka kehidupan SEKADAR dalam sekolah dan kampus, kita akan hanya nampak study, couple dan result (tiba2 couple, hehe). Apabila kita melihat kerangka kehidupan sekadar dalam dunia, kita hanya akan dambakan wang, harta dan perempuan.

Tetapi apabila kita melihat kerangka kehidupan LEBIH daripada sekadar alam sekolah, alam kampus, alam cinta, dan alam dunia iaitu meliputi dunia dan akhirat, kita akan lebih prihatin perihal dosa dan pahala, neraka dan syurga, serta tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Monday 25 March 2013

Pengakhiran Kisah Cinta

Pengakhiran sebenar kisah cinta manusia itu ketika di akhirat kelak. Pasangan yang bernikah kerana Allah, cinta mereka tidak hanya di dunia, malah mereka akan bertemu juga di Syurga kelak. Maha Suci Allah.

Sudahlah di dunia melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah, menjadi saham berpanjangan pula kepada pasangan tersebut setelah meninggal dunia.

Baru-baru ini mendengar dan membaca kisah beberapa tokoh hebat yang berjaya membina keluarga besar yang hidup dengan kehidupan Islam. Setiap ahli keluarganya hingga ke cucu dan cicit mengamalkan Islam sebaiknya. Allahu rabbi.

Ini baru cinta sejati. Bukan kisah jiwang karat. Bukan kisah imamku, makmumku. Bukan kisah tulang rusukku. Tetapi kisah cinta sejati yang bersulamkan roh Islam.


Dakwah Perlu Ilmu

Kita perlu tahu kadar atau had penyampaian berkaitan agama kita kepada orang ramai dalam erti kata DAKWAH berdasarkan tahap kefahaman ilmu yang kita miliki. Kita bimbang dengan semangat DAKWAH yang hebat, kita telah menyampaikan perkara yang salah berkaitan agama kita kepada orang-orang yang didakwah.

Sebagai contoh, penetapan hukum feqah yang salah, penyebaran hadis-hadis palsu dan tafsiran Al-Quran yang menyeleweng.

Memang benar, kerja dakwah bukan hanya kerja para ustaz dan ustazah. Namun, dengan tahap ilmu yang kita ada, kita harus bijak memposisikan diri kita dalam kerja-kerja dakwah khususnya dakwah menyampaikan kefahaman Islam. Jika tidak mampu atau ragu-ragu, sampaikanlah saja perkara berkaitan nasihat dan peringatan yang berguna kepada orang yang didakwah tanpa melibatkan hal-hal yang berat.

Teruskan berdakwah dengan bersungguh dan memperoleh redha-Nya.


Saturday 9 February 2013

Orang Berhijrah Tetap Diuji

Jangan menyangka selepas berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik, kita tidak akan diuji lagi. Untungnya bila sudah berhijrah, kita sudah meniti di jalan Allah, hidup kita sudah berdestinasikan redha Allah, walaupun sering jatuh dan jatuh dan jatuh. Apabila jatuh, bangkitlah kembali. Apabila jatuh lagi, bangkitlah kembali. Ujian akan berlangsung sampai kita mati.

Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang BERTAUBAT.” (HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

 

Thursday 7 February 2013

Ada Beza Taksub Dengan Ihtiram

Saya rasa ada perbezaan antara TAKSUB terhadap ulamak dengan IHTIRAM (memuliakan) ulamak.

Taksub itu satu perbuatan melampau.
Memuliakan itu satu tuntutan.


Menyamaratakan Setiap Manusia

Saya tidak pasti dengan MENYAMARATAKAN setiap manusia untuk dikritik dan ditegur adalah tindakan yang benar dan adil dalam Islam. Misalnya, seorang kawan dan juga bapanya berbuat kesalahan yang sama, adakah sama BENTUK teguran terhadap keduanya? Begitu jugalah bagaimana sikap yang betul bagi orang awam apabila berhadapan dengan ulamak yang berbuat kesilapan.

Bersyukur dan Bimbang Membawa Islam

Saya sangat bersyukur kalau orang nampak Islam ketika melihat saya sedang berbuat sesuatu KEBENARAN. Tetapi, apa yang paling saya bimbang adalah apabila orang menggambarkan Islam ketika melihat saya sedang melakukan sesuatu yang SALAH.


Buang Masa Besar-Besaran

Kalaulah pernikahan yang INDAH itu boleh sahaja berlaku tanpa perlakuan mengorat, perkenalan panjang, jiwang-jiwang dan percintaan romantik sebelum bernikah (COUPLE), maka bolehlah kita bermuhasabah bahawa kita sedang MEMBUANG MASA sedangkan tanpa perbuatan tersebut pun, pernikahan yang baik dapat DICAPAI.

Tempoh masa PERCINTAAN SEBELUM NIKAH itu sebenarnya boleh disibukkan dan diisi dengan ibadah, pencarian ilmu dan perbuatan-perbuatan yang lebih diredhai Allah. Jelaslah, anak-anak muda kita memang sedang diuji dengan perbuatan membuang masa yang BESAR.



Halal dan Haram Itu Jelas

Yang HALAL itu jelas, yang HARAM itu jelas.
KETAATAN itu jelas, KEMAKSIATAN itu jelas.

Tinggal kita nak buat atau tinggalkan je.
Berdoa kepada Allah agar diberi kefahaman dan kekuatan.


Sikap Dalam Menegur

Masakan sama bentuk teguran terhadap perbuatan HARAM dengan perbuatan yang MAKRUH.

Masakan sama ketegasan terhadap perbuatan WAJIB dengan perbuatan SUNAT serta HARUS.

Sedangkan IMPLIKASI setiap daripadanya yang berbeza.
 
 

Orang Zalim Takutkan Kecerdikan

Orang-orang yang ZALIM itu senang menzalimi orang-orang yang BODOH dan TIDAK MENGETAHUI

Orang-orang yang ZALIM sudah tentu sangat bimbang apabila orang-orang yang dizaliminya makin CERDIK dan MENGETAHUI

Masakan tidak, KEZALIMANNYA akan terbongkar, KEZALIMANNYA akan ditentang.


Monday 4 February 2013

Semua Orang Boleh Jadi Soleh dan Solehah

"Semua Orang Boleh Jadi Soleh & Solehah"

Title SOLEH dan SOLEHAH itu bukan hak milik insan-insan tertentu sahaja. Setiap insan berpeluang memegang title SOLEH dan SOLEHAH dengan menjadi hamba Allah yang baik.

 

Para Pendakwah Juga Boleh Hanyut

Dunia telah hampir tenggelam dengan lautan dosa. Ramai yang sudah lemas dan hanyut dengan lautan dosa. Para pendakwah ibarat penyelamat yang turut sama berada dalam lautan tersebut. Silap-silap, mereka juga boleh turut sama tenggelam dan hanyut. Carilah bahtera (jemaah) agar terus istiqomah dalam menyelamatkan manusia.

Mengikis Taksub

Saya berpandangan usaha mengikis gejala TAKSUB terhadap individu, kelompok dan aliran tertentu merupakan usaha yang sangat baik dalam melahirkan masyarakat Islam yang bijak dan hebat.

Antara Tazkirah Facebook dan Keluarga

Membantu keluarga mengemas rumah, memasak, sidai kain, lipat baju dan sebagainya LEBIH UTAMA daripada TAZKIRAH AGAMA berjam-jam di Facebook. 

Islam Sebagai Sistem

10 jutawan Islam yang diikat dengan ukhuwah Islamiyah, menceburi pelbagai bidang sehingga berjaya membina kota raya Angsana yang SANGAT MAJU lagi BERSYARIAT. Membangun bersama Islam, membangun dengan Islam. Islam bukan sekadar di masjid, bahkan Islam menjadi sebuah SISTEM di kota raya Angsana.

Novel 'HERO' by Hilal Asyraf




Bukan Kerana Berpeluang

Kita meninggalkan maksiat kerana TAKWA. Kita meninggalkan maksiat bukan kerana kita tidak berpeluang untuk melakukannya atau tidak terdedah kepada maksiat itu.

Kalau bukan kerana TAKWA yang sebenar, mungkin apabila BERPELUANG buat maksiat atau ada KESEMPATAN, kita akan lakukan maksiat dan meninggalkan kebaikan.

[ Buku R&R di Lebuh Raya Kehidupan (Ustaz Zul Ramli M. Razali) ]


Kebenaran Dari Yang Salah

KEBENARAN itu kadang-kadang tidak hanya keluar dari mulut orang-orang yang selalu benar. Terkadang KEBENARAN itu turut datang dari mereka yang selalunya menyatakan yang tidak benar. Kita perlu ADIL dalam segala perkara.

Sunday 3 February 2013

Pendekatan Tidak Berhikmah

Saya kurang bersetuju pendekatan keras seperti menempelak qasidah, alunan zikir-zikir munajat, lagu-lagu nasyid keinsafan dan karya-karya penulisan Islami dengan alasan kenapa tidak terus membawa ummah kepada AL-QURAN dan AS-SUNNAH? Ramai sahaja yang kembali kepada AL-QURAN dan AS-SUNNAH melalui jalan-jalan ini. Mahu apa lagi? Konsert, program, pesta dan karya maksiat masih berleluasa itu bagaimana pula?

Monday 28 January 2013

Perjuangan di Mana-Mana Lapangan dan Peringkat

Berjuanglah di mana-mana lapangan dan peringkat, asalkan tertegaknya (menang) Islam di mana-mana peringkat sama ada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Usah selalu mempersoalkan usaha-usaha pihak lain walhal persoalan-persoalan itu sekadar memberi mileage (kelebihan) kepada musuh-musuh dan golongan munafik yang ingin melihat Islam tertindas dan lemah. Menimbulkan persoalan demi mententeramkan ketaksuban dan salah faham itu okeyla. Tapi biarlah tak merugikan Islam dan tak menimbulkan perbalahan sesama mereka yang ingin melihat Islam sentiasa di atas.

Saturday 12 January 2013

Cemburu vs Dunia Sendiri


Penting juga membandingkan diri dengan orang lain agar dapat membina 'cemburu' untuk jadi LEBIH BAIK. Kalau asyik sahaja dengan DUNIA SENDIRI tanpa melihat ketaqwaan, kerendahan hati, penat lelah perjuangkan agama, dan kelebihan-kelebihan yang lain orang di SEKELILING, sampai bila-bilalah hidup dalam dunia sendiri dan rugi.

Genius Dalam Bidang Agama

 

Bidang AGAMA tidak boleh menjadi bidang sampingan atau 'buangan'. Bidang agama hari ini juga perlu dipenuhi pelajar-pelajar yang 'straight A's', genius, cerdik pandai dan segelaran dengannya. Barulah dapat melahirkan RAMAI ilmuan agama yang berkualiti, intelek, semasa, terkehadapan dan berhikmah.

Aku Hanya Ada Sekarang

 

Kalau rindu dengan KESOLEHAN yang dulu, kita tak dapat kembali lagi ke masa itu untuk memperolehinya. Kalau menyesal pula dengan KEMAKSIATAN yang dulu, kita juga tak dapat kembali lagi ke saat itu untuk menghindarinya. Kita adalah kita yang SEKARANG. Sentiasa berpeluang untuk memilih jalan ke SYURGA atau NERAKA.


"Ya Rabbi ya, ku pinta HIDAYAHMU meneruskan SISA usiaku"