Saturday 23 June 2012

Ustaz Azhar Idrus - Saya Cintakan Beliau Kerana Allah


“Tak taula kenapa, dalam hilai tawa jutaan manusia semasa kuliah beliau, beberapa kali aku berasa sebak kerana tersentuh dan kagum melihat cara Ustaz Azhar Idrus 'memujuk' anak-anak muda kepada mengenal Allah, Rasulullah dan agama. Beliau sememangnya inspirasi buat anak-anak muda. Kuliah agama beliau jauh sekali sekadar jenaka semata-mata seperti didakwa segelintir pembencinya. Sejujurnya, aku memperolehi HIBURAN, ILMU dan KEINSAFAN dari kuliah-kuliah beliau yang menyeronokkan.” (Fahmi Ahmad Dusuki : 2.00am, 24 Jun 2012)


Hari ini saya berkesempatan ke Masjid KUIS untuk menghadiri kuliah Ustaz Azhar Idrus. Ini merupakan kuliah beliau yang ketiga dapat saya hadiri – sekali di Masjid al-Fattah (Kuantan), sekali di Masjid Hasanah dan sekali juga di Masjid KUIS. Alhamdulillah. Cukup terharu melihat kebanjiran manusia khususnya anak-anak muda yang sering mendominasi kuliah agama beliau sejak beberapa tahun ini. Saya cukup yakin bahawa kehadiran anak-anak muda ini bukanlah semata-mata ingin mendengar lawak jenaka ustaz tetapi mereka mengharapkan kalam-kalam inspirasi dari ustaz untuk mereka memperbaiki diri agar menjadi hamba Allah yang baik. Inspirasi yang sangat santai lagi menyentuh jiwa.

“Sape lagi hebat, Rasulullah ke presiden dunia?”
“Al-Quran ke surat khabar lagi hebat?”
“Belajar tinggi-tinggi tapi tak pandai baca Al-Quran, bodo!!!”



Itulah antara contoh perbandingan dan teguran sinis oleh ustaz pada malam itu yang menyuntik keimanan anak-anak muda serta masyarakat. Contoh yang beliau berikan sangat dekat dengan masyarakat; Angry Birds, JKK, awek, Power Rangers, Spiderman dan lain-lain lagi. Apa yang sangat mencuit hati saya adalah apabila ustaz ‘mempergunakan’ golongan agamawan seperti dan imam dan bilal untuk digandingkan dengan contoh-contoh yang memang ‘tak sesuai langung’ dengan mereka dari kebiasaannya seperti tok imam main angry bird, tok bilal tengok awek, tok siak sedih tak berbini. Saya sangat jelas bahawa gandingan jenaka ini bukanlah bahan yang merepek tetapi nak menunjukkan bahawa agamawan ini sebenarnya manusia biasa lantas dapat menghapuskan gap yang tebal antara golongan agamawan dengan anak-anak muda yang ‘nakal’.

Satu perkara lagi yang sangat menarik hati saya juga adalah kehebatan Ustaz Azhar Idrus menghurai kitab-kitab turath dengan metod yang mudah difahami untuk diaplikasi. Beliau sebenarnya cuba memberitahu kepada anak-anak muda dan masyarakat bahawa agama ini mudah dan semua orang mampu untuk mengamalkan agama dengan baik. Teringat saya kupasan beliau tentang Sifat 20 yang saya kira agak complicated untuk mereka yang baru hendak mendalami ilmu agama. Kupasan beliau lebih kurang berbunyi:

“Hebat macammanapun sampai dapat hafal dan syarah Sifat 20 tapi takde rasa takut kat Tuhan, tak guna jugak. Yang penting kalau tak faham Sifat 20 secara mendalam sekalipun, dapat bina rasa takut pada Allah, itu adalah lebih baik. Sebab Allah tak tanya pasal Sifat 20 kat dalam kubur tapi Allah tanya siapa Tuhan kamu?”

Ya, saya memang merasa sebak semasa kuliah beliau tadi secara tiba-tiba walaupun pada ketika itu sebenarnya Ustaz Azhar Idrus sedang berjenaka tentang Al-Quran. Betapa beliau ingin memberitahu kepada masyarakat yang tidak pandai Al-Quran supaya belajar Al-Quran walaupun usia sudah lanjut. Kaedahnya berjenaka dan tegas tetapi sangat meransang para hadirin untuk benar-benar beriltizam dalam mendekatkan diri dengan Al-Quran. Jangan pernah malu untuk bertatih-tatih dengan Al-Quran dan agama.

Dan yang keduanya, saya sebak kerana tersentuh melihat fenomena anak-anak muda khususnya di bandar besar seperti Bandar Baru Bangi yang sudah mula ‘sanggup’ untuk mendalami ilmu agama. Lihat sahaja kerancakkan maksiat dan gejala sosial lagi sesat yang berlaku di sekitar bandar-bandar besar kita, tidak pula terbayang di ruang fikiran saya bahawa anak-anak muda moden ini boleh tertarik dengan pengajian agama sehebat ini.

Beliaulah inspirasi anak muda! Allahuakbar!!!
 

Thursday 14 June 2012

Parti Politik Sekadar Parti Politik

Sistem demokrasi moden adalah satu sistem yang mempamerkan perlawanan antara parti-parti politik dalam memenangi pilihanraya. Sistem yang memberi mandat sepenuhnya kepada rakyat dalam menjadi hakim kepada parti-parti politik ini telah lama bertapak di negara-negara Islam tidak terkecuali Malaysia. Kejatuhan Khilafah Islamiyah di Turki pada tahun 1924 telah mencetuskan satu perubahan besar dalam menentukan penguasa atau pemerintah sesebuah negara terutamanya negara Islam. Ringkasnya, sistem demokrasi melalui pilihanraya ini menjadi sistem utama bagi hampir seluruh negara di dunia sejak daripada itu.

Justeru, parti-parti politik yang bertanding terus bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Maka wujudlah golongan-golongan yang melancarkan pelbagai usaha yang jauh menyimpang dari kebenaran demi mencapai kemenangan dalam pilihanraya atau kata mudahnya ialah 'main kotor'. Lumrah ini sudah pasti akan terus berlaku tanpa noktah kerana prinsip "parti politik sekadar parti politik" merupakan pegangan teguh para aktor politik di pentas pilihanraya kerana sememangnya itulah sifat atau peranan parti politik, semata-mata memenangi pilihanraya.

Saya kira "parti politik sekadar parti politik" sudah tentu tidak wujud di dalamnya agenda DAKWAH atau menyampaikan Islam kepada masyarakat dan juga agenda MENDIDIK pendukung-pendukungnya ke arah kebaikan apatah lagi mendidik mereka menjadi hamba Allah yang baik. Sebaik-baik "parti politik sekadar parti politik" adalah yang terdapat di dalamnya agenda KEADILAN dan KETELUSAN.

Lantas, gerakan-gerakan Islam mutakhir ini yang berakar umbikan pengaruh para tokoh pemikir Islam sebaik sahaja kejatuhan Khilafah Islamiyah yang lalu telah membawa satu fenomena baru dalam sistem demokrasi di setiap negara yang mengamalkannya. Prinsip "parti politik sekadar parti politik" telah menerima satu kunjungan baru apabila elemen TARBIYAH dan DAKWAH turut sama menjadi fokus dalam memenuhi agenda sesebuah parti politik Islam. Ringkasnya dari sudut istilah Islam, parti politik tersebut sekadar memenuhi agenda siasah semata-mata iaitu mementingkan keadilan dan ketelusan kepada rakyat. Elemen tarbiyah yang dimaksudkan adalah wujudnya satu sistem dalam sebuah parti politik bagi membentuk para pendukung atau ahlinya menjadi insan yang bukan sahaja profesional malah beragama. Lebih lagi terpandu pula sistem tersebut apabila para ulamak menjadi pimpinan atau majlis tertinggi parti tersebut. Elemen dakwah pula adalah misi menyampaikan Islam kepada masyarakat. Maka, wujudlah penerapan rasa tanggungjawab bagi setiap ahlinya untuk menyebarkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat dengan pelbagai wasilah dan medium yang bersesuaian seperti program dan ceramah.

Lalu, bagaimana pula kriteria-kriteria yang perlu ada bagi "parti politik sekadar parti politik" yang mengasingkan sistem mendidik dan tuntutan dakwah Islamiyah ini dari agenda parti mereka dalam berperanan menjadi parti politik yang baik? Dan sudah tentunya parti tersebut tidak meletakkan agama sebagai teras atau dasarnya. Saya berpandangan bahawa sebuah parti politik yang baik adalah parti yang meletakkan keadilan yang jitu buat rakyat dan telus dalam menyampaikan maklumat kepada mereka. Namun, timbul persoalan bahawa bagaimana boleh terhasilnya sebuah parti politik yang baik tanpa pemimpin dan pendukungnya yang baik? Dan bagaimana pula mampu sebuah parti politik yang tidak berteraskan agama mampu terus konsisten menjadi parti yang baik? Teman-teman mampu memikirkannya.




Wednesday 13 June 2012

Cinta Kita Yang Bermusim...

Fitrah cinta itu sememangnya dimiliki setiap makhluk bernama manusia. Manusia tidak dapat hidup tanpa cinta. Cinta itu adalah darah daging manusia. Namun, pendefinisian cinta yang pelbagai menjadi pemisah utama antara cinta yang diredhai dan dimurkai oleh Tuhan. Istilah cinta seolah-olah sudah menjadi ketetapan 'khas' buat sesama manusia sahaja. Masakan tidak, lihat saja kebanjiran post-post cinta di ruangan Facebook, Twitter dan teman-teman sejenisnya. Lebih malang lagi, ada juga yang melestarikan cinta sesama jantina yang jauh lebih hina dari fitrah binatang! Astaghfirullah

"Cinta kita kepada Allah itu bagaikan BERMUSIM... Kita hanya mencintai-Nya di masa-masa tertentu sahaja... Sungguh TIDAK TAHU MALU sifat cinta ini..."

Ya, cinta kita kepada Allah. Itu yang sepatutnya menjadi fokus manusia. Keimanan ummah yang terus merapuh setelah zaman berganti zaman menyebabkan bicara cinta Ilahi sudah teramat asing bagi mereka. Malah, tidak terbayang langsung di fikiran mereka bagaimana mungkin mereka boleh 'bercinta' dengan Pencipta-Nya. "Mustahil!!! Bercinta itu semestinya perlu ada luahan hati, berdua-duaan dan sentuhan. Lalu, bagaimana boleh berlakunya prinsip cinta terhadap Pencipta?!" Begitulah terasingnya cinta Ilahi dari jiwa-jiwa manusia.

Ringkasnya teman-teman, sudah semestinya kita tidak boleh menyamakan cinta sesama makhluk itu dengan cinta kepada Allah yang Maha Tinggi. Itu asasnya, Namun, secara mudahnya kita boleh mengertikan cinta kepada Allah itu adalah sejauh mana kita telah menjadi hamba yang taat, hamba yang bersyukur dan hamba yang bertaqwa kepada-Nya.

Ku sering melanggar larangan-Mu... Dalam SEDAR ataupun TIDAK... 

Ku sering meninggalkan suruhan-Mu... Walau sedar aku milik-Mu... 

Ku sering BERJANJI depan-Mu... Sering jua ku MEMUNGKIRI... 

Ku pernah MENANGIS kerana-Mu... Kemudian KETAWA semula...

Begitulah teman-teman... Cinta kita kepada si Dia yang bermusim... Tidak pula setulus cinta kita kepada si dia...