Saturday 23 June 2012

Ustaz Azhar Idrus - Saya Cintakan Beliau Kerana Allah


“Tak taula kenapa, dalam hilai tawa jutaan manusia semasa kuliah beliau, beberapa kali aku berasa sebak kerana tersentuh dan kagum melihat cara Ustaz Azhar Idrus 'memujuk' anak-anak muda kepada mengenal Allah, Rasulullah dan agama. Beliau sememangnya inspirasi buat anak-anak muda. Kuliah agama beliau jauh sekali sekadar jenaka semata-mata seperti didakwa segelintir pembencinya. Sejujurnya, aku memperolehi HIBURAN, ILMU dan KEINSAFAN dari kuliah-kuliah beliau yang menyeronokkan.” (Fahmi Ahmad Dusuki : 2.00am, 24 Jun 2012)


Hari ini saya berkesempatan ke Masjid KUIS untuk menghadiri kuliah Ustaz Azhar Idrus. Ini merupakan kuliah beliau yang ketiga dapat saya hadiri – sekali di Masjid al-Fattah (Kuantan), sekali di Masjid Hasanah dan sekali juga di Masjid KUIS. Alhamdulillah. Cukup terharu melihat kebanjiran manusia khususnya anak-anak muda yang sering mendominasi kuliah agama beliau sejak beberapa tahun ini. Saya cukup yakin bahawa kehadiran anak-anak muda ini bukanlah semata-mata ingin mendengar lawak jenaka ustaz tetapi mereka mengharapkan kalam-kalam inspirasi dari ustaz untuk mereka memperbaiki diri agar menjadi hamba Allah yang baik. Inspirasi yang sangat santai lagi menyentuh jiwa.

“Sape lagi hebat, Rasulullah ke presiden dunia?”
“Al-Quran ke surat khabar lagi hebat?”
“Belajar tinggi-tinggi tapi tak pandai baca Al-Quran, bodo!!!”



Itulah antara contoh perbandingan dan teguran sinis oleh ustaz pada malam itu yang menyuntik keimanan anak-anak muda serta masyarakat. Contoh yang beliau berikan sangat dekat dengan masyarakat; Angry Birds, JKK, awek, Power Rangers, Spiderman dan lain-lain lagi. Apa yang sangat mencuit hati saya adalah apabila ustaz ‘mempergunakan’ golongan agamawan seperti dan imam dan bilal untuk digandingkan dengan contoh-contoh yang memang ‘tak sesuai langung’ dengan mereka dari kebiasaannya seperti tok imam main angry bird, tok bilal tengok awek, tok siak sedih tak berbini. Saya sangat jelas bahawa gandingan jenaka ini bukanlah bahan yang merepek tetapi nak menunjukkan bahawa agamawan ini sebenarnya manusia biasa lantas dapat menghapuskan gap yang tebal antara golongan agamawan dengan anak-anak muda yang ‘nakal’.

Satu perkara lagi yang sangat menarik hati saya juga adalah kehebatan Ustaz Azhar Idrus menghurai kitab-kitab turath dengan metod yang mudah difahami untuk diaplikasi. Beliau sebenarnya cuba memberitahu kepada anak-anak muda dan masyarakat bahawa agama ini mudah dan semua orang mampu untuk mengamalkan agama dengan baik. Teringat saya kupasan beliau tentang Sifat 20 yang saya kira agak complicated untuk mereka yang baru hendak mendalami ilmu agama. Kupasan beliau lebih kurang berbunyi:

“Hebat macammanapun sampai dapat hafal dan syarah Sifat 20 tapi takde rasa takut kat Tuhan, tak guna jugak. Yang penting kalau tak faham Sifat 20 secara mendalam sekalipun, dapat bina rasa takut pada Allah, itu adalah lebih baik. Sebab Allah tak tanya pasal Sifat 20 kat dalam kubur tapi Allah tanya siapa Tuhan kamu?”

Ya, saya memang merasa sebak semasa kuliah beliau tadi secara tiba-tiba walaupun pada ketika itu sebenarnya Ustaz Azhar Idrus sedang berjenaka tentang Al-Quran. Betapa beliau ingin memberitahu kepada masyarakat yang tidak pandai Al-Quran supaya belajar Al-Quran walaupun usia sudah lanjut. Kaedahnya berjenaka dan tegas tetapi sangat meransang para hadirin untuk benar-benar beriltizam dalam mendekatkan diri dengan Al-Quran. Jangan pernah malu untuk bertatih-tatih dengan Al-Quran dan agama.

Dan yang keduanya, saya sebak kerana tersentuh melihat fenomena anak-anak muda khususnya di bandar besar seperti Bandar Baru Bangi yang sudah mula ‘sanggup’ untuk mendalami ilmu agama. Lihat sahaja kerancakkan maksiat dan gejala sosial lagi sesat yang berlaku di sekitar bandar-bandar besar kita, tidak pula terbayang di ruang fikiran saya bahawa anak-anak muda moden ini boleh tertarik dengan pengajian agama sehebat ini.

Beliaulah inspirasi anak muda! Allahuakbar!!!
 

No comments:

Post a Comment